Wednesday, October 13, 2010

Microsoft: Malaysia Lemah Kuatkuasa Undang-Undang Siber

Posted on 9:48 PM by cyberlaw2010

KUALA LUMPUR:  Sungguhpun Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang untuk mendakwa pesalah jenayah siber tetapi masih lemah daripada segi penguatkuasaan.

Oleh itu, Malaysia perlu memberikan lebih tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang siber sedia ada bagi membendung aktiviti berkaitan jenayah siber, kata naib presiden korporat Microsoft Corporation, Pamela S. Passman.

Katanya Malaysia perlu melabur lebih banyak dalam latihan penguatkuasaan undang-undang dan membina infrastruktur undang-undang yang dapat bertindak sebagai pencegahan kepada aktiviti jenayah siber.

"Malaysia juga patut mengikuti perkembangan terkini aktiviti jenayah siber, supaya ia tidak menjadi subjektif, dan lebih mudah untuk mendakwa pesalah.

"Sesetengah negara telah mula menyemak semula undang-undang sedia ada atau mengeluarkan undang-undang baru mengenai siber untuk menangani isu baru mengenai ICT (teknologi maklumat dan komunikasi).

"Satu perjanjian antarabangsa mengenai jenayah siber adalah sesuatu yang ingin diratifikasikan oleh Microsoft dan negara seperti Malaysia patut menyokongnya," kata Passman, yang juga timbalan ketua majlis (hal ehwal korporat global).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi pleno hari kedua persidangan Third Global Knowledge (GK3) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Persidangan tiga hari itu bermula kelmarin.

Passman bertanggungjawab memastikan syarikat gergasi itu menyediakan penasihat kepada kumpulan perniagaan, membangunkan kedudukan korporat terhadap isu dasar awam, hak harta intelek, cetak rompak, keselamatan internet, perdagangan antarabangsa, kemudahan akses dan telekomunikasi.

Malaysia telah memperkenalkan beberapa undang-undang siber, termasuk Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan Tandatangan 1998.
Mengenai saman terbaru Microsoft terhadap penjual yang didakwa menjual perisian palsu Microsoft secara dalam talian, katanya ia merupakan usaha berterusan oleh syarikat itu.

Pada Selasa, Microsoft berkata syarikat itu memfailkan 52 saman dan merujukkan 22 kes kepada agensi penguatkuasaan tempatan di 22 negara terhadap penjual yang didakwa menjual perisian palsu Microsoft secara dalam talian.

Katanya 15 daripada saman itu dikesan membabitkan sindiket pemalsuan terbesar yang ditumpaskan awal tahun ini oleh pihak berkuasa China, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Microsoft.

Saman itu difailkan di Belgium, Kanada, Perancis, Jerman, Hong Kong, India, Ireland, Itali, Belanda, Turki, Afrika Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat. BERNAMA

Khamis Disember 13, 2007


Sumber:

No Response to "Microsoft: Malaysia Lemah Kuatkuasa Undang-Undang Siber"

Leave A Reply


I made this widget at MyFlashFetish.com.