Showing posts with label Cyberlaw2010. Show all posts
Showing posts with label Cyberlaw2010. Show all posts

Tuesday, October 12, 2010

Semua pihak perlu tangani jenayah siber

Oleh Siti Mariam Md. Zain

SEMUANYA di hujung jari anda. Frasa ayat ini cukup popular ketika ini. Memang, kecanggihan teknologi maklumat (IT) mendorong kita memilih sesuatu yang boleh dilakukan dengan lebih mudah dan pantas.

Jika boleh, semua urusan mahu dibuat di satu tempat. Faktor masa dan belanja banyak mempengaruhi pilihan ini. Justeru, apabila pihak bank berlumba-lumba menawarkan perkhidmatan on-line atau lebih dikenali sebagai perbankan Internet, ramai yang mengalu-alukan usaha ini. Sebagai pengguna, ia dilihat menguntungkan mereka.

Namun pada masa yang sama, ada perkara yang terus menjadi kebimbangan. Sejauh mana kaedah ini selamat digunakan atau dalam bahasa mudah, sejauh mana wang pengguna mampu dilindungi terus menjadi tanda tanya.


Walaupun pihak bank berkali-kali mengatakan keselamatan menjadi keutamaan mereka, hakikatnya, masih ada pengguna yang mengadu kehilangan wang menerusi transaksi yang dijalankan, tanpa sedar mahupun disedari.


Mengapa ini berlaku? Alasan yang diberikan oleh pihak bank apa yang berlaku bukan kerana kesilapan mereka. Segala urusan yang disediakan dijamin mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi. Tambah mereka lagi, pelanggan bukannya tertipu sewaktu berurusniaga dengan bank, tetapi sebelum itu lagi. Maknanya ada pihak lain yang ‘memotong jalan’ menggunakan kaedah-kaedah yang sama seperti disediakan oleh bank terbabit. Lebih tepat, laman-laman web perbankan telah diciplak untuk ‘menghalalkan’ penipuan tersebut.

Sebagai pengguna, dapatkah kita menerima alasan ini? Tentu jawapannya tidak. Hakikatnya, pengguna bukan sahaja tertipu tetapi mungkin juga terpaksa membayar harga perkhidmatan yang ‘ditawarkan' pihak tertentu.

Menurut seorang pakar komputer yang enggan dikenali, “dengan hanya memiliki sebuah komputer, Internet dan perisian pelayar, seseorang boleh mencipta laman web bank untuk melesapkan berjuta ringgit wang pelanggan. Malah untuk mencipta laman web palsu ini, mereka tidak memerlukan masa yang lama, hanya kira-kira satu hingga dua jam sahaja,” katanya sambil menjelaskan perisian yang dimaksudkan boleh didapati di pasaran.

Kegiatan itu bagaimanapun tidak boleh meniru URL (alamat domain) asal laman web berkenaan kerana ia dilindungi, tetapi mereka boleh mewujudkan rangkaian alternatif sehingga mengelirukan para pelanggan bank. Ini bukan satu perkara yang pelik. Baru-baru ini Pusat Keselamatan dan Tindak Balas Kecemasan Teknologi Komunikasi dan Maklumat Negara (NISER) mengesan penipuan yang berlaku.

Serentak itu, pihak polis telah menangkap empat pelajar universiti dan sembilan yang lain kerana mencipta laman web palsu bank-bank tempatan untuk mencuri maklumat pelanggan sebelum mengeluarkan wang mereka.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini (2006), sebanyak 159 kes kecurian identiti pelanggan perbankan Internet telah dikesan, meningkat 27 kes berbanding 132 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu. Jumlah kerugian bagaimanapun tidak dapat diperoleh kerana dirahsiakan oleh pihak perbankan terbabit.

Usaha pihak polis yang berjaya memberkas penjenayah siber ini harus dipuji, namun itu bukanlah pengakhiran kepada kisah penipuan ini. Mungkin masih banyak penjenayah yang lebih bijak tetapi masih bebas di luar sana. Lalu apa lagi yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini?

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), DigiCert Sdn. Bhd., Noor Azli Othman, untuk menjamin keselamatan, setiap bank harus mempunyai sijil digital. Sijil digital tersebut jelasnya, mampu memastikan setiap pemalsuan laman web dikenal pasti dengan serta-merta.

“Saya tidak menafikan orang masih boleh menciplak laman web terbabit tetapi dengan adanya sijil digital, pengguna boleh tahu tulen atau tidak sesuatu laman web itu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

DigiCert adalah syarikat pengeluar sijil pengesahan digital untuk urus niaga secara elektronik. Sijil digital merupakan keperluan yang penting bagi memastikan keselamatan yang berterusan untuk transaksi dalam talian. Ia juga adalah kenyataan yang mengesahkan identiti seseorang dan keselamatan laman web. Setakat ini beberapa agensi kerajaan telah mengguna pakai kaedah ini termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan semua syarikat pembekal yang berdaftar dengan kerajaan.

Noor Azli berkata, sijil digital pihaknya berasaskan infrastruktur kunci awam (IPK) untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan sekaligus meningkatkan tahap kepercayaan komunikasi Internet. Ia telah diterima di seluruh dunia sebagai kaedah yang paling menjamin keselamatan setakat ini.

Membincangkan tentang ancaman siber, perkara ini bukan baru. Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), masalah ini telah wujud awal lagi. Namun usaha untuk mencegah giat dilakukan dari semasa ke semasa.

Tidak dinafikan dalam persaingan dunia global, ancaman siber sebenarnya sering dihadapi oleh para pengguna komputer masa kini memandangkan kebanyakannya mempunyai sambungan kepada rangkaian Internet.

Apa yang pasti ialah, kesan ancaman siber ini boleh merebak secara global dalam masa yang amat singkat dan lebih membimbangkan ia tidak bersifat setempat atau terhad mengikut sempadan seperti keganasan fizikal. Jika ada pihak yang bimbang dengan penularan jenayah siber perbankan Internet, ada pihak lain melihat, masalah sebenar membabitkan keselamatan proses transaksi tersebut berpunca daripada pengguna itu sendiri.

“Saya percaya masalah ini wujud kerana pengguna kita sendiri yang tidak berhati-hati,” kata Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Aziz Deraman. Mengambil dirinya sendiri sebagai contoh pengguna tetap perbankan Internet, Prof. Aziz mengakui sekiranya pengguna itu celik komputer, tidak akan timbul masalah yang sedang membelenggu sesetengah pihak ini.

“Pihak bank tentunya mempunyai tahap keselamatan yang tinggi. Dari segi bank sendiri mungkin tiada masalah tetapi yang menimbulkan masalah ialah pihak luar. Kerana itu kita sebagai pengguna perlu berhati-hati,” katanya. Bagaimanapun untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi kebaikan kedua-dua pihak, beliau mencadangkan agar pihak bank menambah pengenalan-pengenalan diri pengguna dari semasa ke semasa.

Mengulas lanjut, Prof. Aziz berkata, beliau juga kurang bersetuju sekiranya ada pihak yang mencadangkan supaya menggunakan sistem lama–beratur di pejabat-pejabat pos atau bank untuk melakukan urusan kerana ia membazirkan banyak masa, tenaga dan wang selain kaedah tersebut bukan ciri-ciri sebuah negara maju.

“Kita dalam jangka untuk menjadi negara maju pada 2020, sepatutnya yang perlu dilakukan ialah mencari jalan untuk mengurangkan jurang digital di kalangan rakyat. Jika semua pihak faham dan celik komputer, masalah penipuan jika tidak dapat dihapuskan pun akan dapat dikurangkan,” tegasnya.

Sememangnya penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) tidak dapat dielakkan dalam mengharungi era globalisasi. Dalam hal ini, seharusnya semua pihak atau agensi yang terlibat dapat mewujudkan kerjasama serta persefahaman ke arah menangani ancaman ini.

Pada masa yang sama pengguna juga perlu memahami tanggungjawab masing-masing. Lebih utama, jurang digital perlu dikurangkan. Jika ini berlaku, jenayah siber yang dibimbangi semakin menular di negara ini akan dapat diatasi.


Artikel ini pula di petik di laman sawang rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang boleh dilayari di

DNA digital - Forensik komputer jejaki penjenayah siber

DNA digital - Forensik komputer jejaki penjenayah siber
By MOHD RIDZWAN MD IMAN
2nd May 2002 (Utusan Malaysia)




KITA tentu biasa mendengar mengenai ujian DNA yang dijalankan ke atas seseorang bagi mengenal pasti keturunan, penyakit dan sebagainya dalam industri perubatan dunia. Begitu juga ujian forensik yang dijalankan ke atas mayat-mayat bagi mengenalpasti pelbagai kemungkinan punca kematian dan faktor-faktor berkaitan.

Bagaimanapun, sebenarnya teknologi forensik dalam bidang perubatan juga kini telah diaplikasikan dalam dunia teknologi pengkomputeran digital yang semakin mencatatkan perkembangan pesat.

Seperti diketahui, teknologi dibangunkan untuk tujuan pembangunan atau kebaikan tetapi ia tidak akan terlepas juga dari aktiviti negatif oleh pihak-pihak yang sentiasa mengambil kesempatan dari apa sahaja teknologi untuk kepentingan peribadi.

Aktiviti pencerobohan dan penggodaman komputer, serangan virus perosak komputer dan data, kecurian maklumat, pengintipan dan sebagainya merupakan aspek negatif atau tindakan jenayah dalam dunia siber masa kini.

Forensik komputer merupakan teknologi yang digunakan dalam membantu penyiasatan, analisis dan mendapatkan bukti-bukti dalam penyiasatan jenayah komputer untuk dikemukakan kepada kekuatan undang-undang.

Maklumat dan bukti ini diperlukan bagi sesetengah isu penipuan dan jenayah siber seperti penyalahgunaan e-mel, penipuan sistem, melanggar hak cipta terpelihara dan senario berkaitan penyalahgunaan komputer.

Seperti yang diketahui, penjenayah sama ada di dunia nyata atau maya akan cuba menyembunyikan jejak-jejak perbuatan jahat mereka selepas melakukan jenayah dan teknologi forensik komputer diperlukan bagi menjejaki mereka.

Pakar keselamatan ICT yang terlibat dalam pembentukan unit jenayah komputer Scotland Yard, John Austen berkata, pasukan Interpol di Eropah telah menubuhkan jawatankuasa menangani masalah jenayah ICT pada 1990 selepas masalah pertama di kesan pada 1989.

"Kes pertama yang dikendalikan oleh polis di Eropah itu ialah perbuatan menyebarkan virus melalui disket yang mampu memformat cakera keras kira-kira 20,000 institusi kesihatan di seluruh dunia,'' kata Austeen yang juga Pengarah, CC Information Security Ltd.

Katanya, ketika itu, pihak polis menghadapi masalah untuk menjejaki perbuatan tersebut yang dilakukan oleh sebuah syarikat dari Panama kerana tidak mempunyai kepakaran khusus.

Sejak itu, aktiviti jenayah berkaitan komputer terus berkembang dan menjadi bertambah pantas terutama selepas penerimaan total Internet di seluruh dunia.

Ancaman komputer lazimnya boleh dilakukan oleh penggodam profesional, agensi perisikan, jenayah terancang, agensi penyiasatan, media sambilan dan ekstremis politik.

Beliau berkata, semua negara kini tidak terlepas dari ancaman jenayah komputer dan harus bersedia menghadapi masalah perang maklumat yang boleh memberi kesan buruk apabila ia dilakukan.

Malaysia yang kini dalam proses membangunkan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara besar-besaran tidak terkecuali dari ancaman dan masalah berkaitan jenayah komputer.

Menurut Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie, Malaysia mengalami kerugian kira-kira RM22 juta kerana terpaksa menyelesaikan pelbagai masalah akibat ancaman dan serangan berkaitan ICT.

Katanya, Pusat Keselamatan Dan Tindakbalas Kecemasan ICT Kebangsaan (NISER) mengkategorikan jenayah komputer kepada beberapa aktiviti, iaitu pengeboman mel, spam, pemalsuan, ancaman penggodaman, serangan virus, pencerobohan dan penafian perkhidmatan (DoS).

Statistik NISER juga menyatakan yang Malaysia mengalami 700 kes berkaitan keselamatan ICT tahun lepas yang bermula dari masalah sekecil mengubah muka hadapan laman web sehingga kepada ugutan rangkaian dan pencerobohan komputer pelayan web.

Sehubungan itu, bagi memastikan perkembangan ICT negara terus berkembang pesat, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan dan juga swasta bagi menjamin perkembangan ICT negara tidak terbantut disebabkan masalah keselamatan komputer.

Pengenalan Undang-undang siber, penubuhan agensi pemantauan keselamatan seperti MyCert dan NISER adalah antara langkah-langkah yang diperkenalkan kerajaan dalam menangani isu-isu pemantauan dan pengukuhan keselamatan komputer.

NISER baru-baru ini telah memperkenalkan satu lagi perkhidmatan berkaitan keselamatan komputer iaitu Perkhidmatan Forensik Komputer yang bertujuan membantu syarikat dan agensi kerajaan di negara ini menjejak bukti-bukti digital penjenayah siber.

Perkhidmatan forensik komputer semakin mencabar dewasa ini berikutan peningkatan kecekapan penjenayah untuk cuba memusnahkan jejak dan identiti mereka selepas melakukan perbuatan jenayah siber tersebut.

Kebolehdapatan dan penggunaan teknik enkripsi berkuasa tinggi dan berleluasa menyukarkan pengurus IT biasa syarikat untuk mengetahui jejak tersebut tanpa perlu mendapatkan bantuan pakar forensik komputer yang terlatih.

Bagaimanapun, kemahiran yang dimiliki oleh penyiasat forensik digital akan perlu sentiasa dipertingkat kerana penjenayah sentiasa menggunakan kaedah dan teknik baru dalam menyembunyikan jejak jenayah mereka.

Pakar forensik kebiasaannya akan melakukan pelbagai kaedah dan teknik dalam menjalankan penyiasatan mereka. Senario tersebut seperti yang dilakukan oleh pasukan polis ketika mereka menjalankan penyiasatan kegiatan jenayah biasa.

Mereka harus mengambil kira pelbagai faktor dalam siasatan tersebut agar ia lebih teliti dan mampu menjejak sehingga ke akar umbi masalah.

Menurut NISER, perkhidmatan yang ditawarkan meliputi pengumpulan maklumat, mengenal pasti maklumat atau bukti-bukti kritikal, memulihkan kehilangan maklumat kritikal dan melindungi data elektronik ketika proses ujian forensik sedang dijalankan.

Analisis yang kebiasaannya dilakukan di makmal NISER termasuk menganalisis maklumat yang mampu mengeluarkan semula fail-fail tersembunyi dan juga memulih semula fail-fail swap.

Bagi memastikan data-data di atas komputer dijalankan penyiasatan tidak terganggu, pasukan penyiasat forensik NISER akan menyalinkan data-data tersebut ke komputer lain untuk tujuan dijalankan analisis.

"Walaupun melaksanakan kajian terhadap sumber asal akan lebih memudahkan pengesanan jejak penjenayah komputer tetapi ia bukan merupakan kaedah terbaik kerana dikhuatiri boleh menjejaskan data asal,'' kata NISER dalam laman webnya.

Maklumat dalam komputer asal sangat penting kerana kesilapan yang kecil sahaja boleh memusnahkan data asal atau jejak yang ditinggalkan penjenayah.

NISER menggunakan peralatan pengimejan cakera yang akan menyalin semua maklumat dari sumber asal dalam bentuk sedia ada yang kemudiannya boleh dijalankan kajian ke atasnya.

Selain daripada menawarkan perkhidmatan menjejak bukti penjenayah komputer, NISER juga menawarkan perkhidmatan memulihkan atau mengembalikan semula data-data dari komputer yang telah dipadam atau cakera keras yang telah diformat.

Kadar bayaran yang dikenakan oleh NISER adalah mengikut jumlah jam bekerja yang dilakukan oleh pasukan penyiasat forensik komputer dalam sesuatu kes. Secara purata, pemeriksaan forensik biasa akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam. Maklumat lanjut boleh diperolehi dari tapak web www.niser.org.my.

Kesimpulannya, semakin canggih teknologi yang digunakan, semakin canggih pula perbuatan penjenayah di dunia ini.

Sebagai pengguna, kita tidak seharusnya terlalu mudah mendedahkan diri kita kepada perbuatan jenayah tersebut dengan mengambil segala langkah perlindungan yang perlu. Jika kejadian tersebut masih juga berlaku kepada kita, jangan lupa dapatkan khidmat pakar.

Saturday, September 25, 2010

Bila Internet Mula Memasuki Malaysia?




Perkembangan Internet di Malaysia bermula pada tahun 1983 apabila netizen Malaysia yang pertama iaitu Dr. Mohamed Awang-Lah (salah seorang ahli Lembaga Pengarah OUM) memulakan idea untuk menghubungkan Malaysia dengan dunia menerusi Internet di makmal Universiti Malaya. Pada ketika itu, beliau merupakan ahli akademik Fakulti Elektrikal/Elektronik di Universiti Malaya. Dr. Mohamed Awang-Lah telah membuat
hubungan Internet yang sama di akhir tahun 1984 ketika beliau ditempatkan di MIMOS.(Malaysian Institute of Microelectronic System). Penubuhan MIMOS oleh kerajaan menyediakan peluang kepada warga Malaysia yang cerdik IT untuk menghasilkan hubungan Internet yang lebih baik.


Pada tahun 1989, Rangkaian Komputer Malaysia (RangKoM) dengan kemudahan sambungan antarabangsa telah ditubuhkan oleh Dr. Mohamed Awang-Lah. Universiti-universiti tempatan merupakan pengguna RangKoM pada peringkat awal. Ianya terus berkembang dengan sokongan dan perhatian dari pihak swasta. Tumpuan awal penggunaan RangKoM ialah pada mel dan forum elektronik, walaupun ia mempunyai
keupayaan komunikasi dan perkongsian sumber. Projek RangKoM bukan sahaja memberi pengalaman dari segi pembangunan teknologi, malah ia juga mendedahkan beberapa kelemahan, kekurangan dan juga potensi penggunaan teknologi rangkaian komunikasi dan isu-isu pengurusan yang berkaitan dengannya.


Berdasarkan kepada pengalaman ini, program JARING (Joint Advanced Integrated Networking) telah dirumuskan, dan ianya dilancarkan pada tahun 1991 yang bertujuan untuk membangunkan rangkaian komunikasi negara secara bersepadu dan lebih menyeluruh. Secara praktiknya, segala kegiatan dan pengalaman projek RangKoM telah diserapkan ke dalam projek JARING. MIMOS mengendalikan projek rangkaian JARING sebagai projek pembangunan utama dalam Rancangan Malaysia KeEnam. JARING yang dihubungkan dengan banyak institusi penyelidikan dan akademik, serta agensi kerajaan dan swasta di Malaysia, bermatlamatkan terutamanya untuk menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan komersial. JARING juga dihubungkan kepada rangkaian Internet antarabangsa. Talian litar suwa antarabangsa berkelajuan 64Kbps ke Amerika Syarikat telah beroperasi mulai 14hb. Nov. 1992. Talian suwa ini menggantikan talian X.25 awam dan dail yang tidak lagi efektif dari segi kos setelah meningkatnya bilangan pengguna dan tahap penggunaan JARING. Pada 29hb. Nov. 1994, keupayaan JARING dipertingkatkan
kepada 1.5Mbps yang merupakan 24 kali ganda lebih pantas berbanding dengan talian 64Kbps. Keupayaan JARING ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi gentian optik selaras dengan pertambahan dalam bilangan keahlian.


Pada bulan Jun 1994, JARING bergerak dengan lebih cemerlang lagi dan Internet boleh diakses melalui nodnya yang ditempatkan di seluruh negara. Nod JARING pada masa tersebut ditempatkan di 16 buah bandar utama di Malaysia, iaitu di Damansara, Petaling Jaya, Shah Alam, Bangi, Melaka, Seri Gading, Johor Bahru, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, dan Kuala Lumpur. Ini membolehkan lebih ramai pengguna mencapai JARING/Internet dengan panggilan telefon tempatan. Rangkaian JARING turut boleh dimanfaatkan oleh pengguna dari Singapura, Brunei, dan Thailand.


Dari segi perkembangan keahlian JARING/Internet pula, sebanyak 29 organisasi dan jabatan kerajaan telah menjadi ahli pada awal tahun 1992. Lebih 200 pelanggan dalam negara menggunakan kemudahan ini pada akhir tahun 1992. Keahlian JARING dikategorikan kepada pelajar, orang perseorangan dan organisasi. Orang perseorangan dan pelajar hanya boleh mengakses Internet melalui talian dail sahaja, sementara
organisasi boleh mengakses melalui talian dail atau litar suwa. Keahlian JARING di sepanjang tahun 1994 meningkat kepada 1,693 ahli individu dan 254 syarikat. Dalam tahun 1995 pula, JARING ditingkatkan keupayaan bagi menampung pertambahan keahlian dan penggunaan serta mengurangkan kesesakan aliran trafik. Tumpuan utama ialah mengukuhkan prasarana tulang belakang JARING melalui tambahan nod, talian di antara nod, dan peningkatan kelajuan beberapa talian suwa serta bilangan talian dail. Dalam tahun 1995 juga talian yang menghubungkan nod-nod di Pulau Pinang dan Johor Bahru telah ditingkatkan kelajuannya dari 64Kbps kepada 2.048Mbps. Sehingga akhir tahun 1995, lebih 1,000 talian untuk pengguna talian dail telah disediakan. Sebanyak 40 nod baru telah dipasang dalam tahun 1996 sebagai tambahan kepada 21 nod pada tahun sebelumnya.



Tahun 1995 juga menyaksikan pemasangan sambungan kedua ke Internet antarabangsa. Sambungan tetap yang berkelajuan tinggi pada kadar 2.048Mbps (E1) berfungsi serentak dengan sambungan 1.536Mbps (T1) sebelumnya. Kehadiran E1 disamping T1 berupaya menampung penggunaan yang semakin bertambah.


Sepanjang tahun 1995 pertumbuhan peningkatan keahlian JARING bertambah pada kadar purata 22% sebulan. Melalui Rancangan Malaysia Ke-9, kerajaan telah melaksanakan projek Superstruktur Maklumat Negara yang menggunakan JARING sebagai prasarana tulang belakang. Untuk membuka peluang yang lebih luas kepada umum, JARING telah memeteraikan Memorandum Persefahaman (MOU) dengan beberapa syarikat Pembekal Perkhidmatan Akses JARING (JASP) pada 1 Ogos 1996. Ia memudahkan orang ramai mendapat khidmat sokongan bagi mengakses Internet.


Seterusnya, pada tanggal 9 November 1996 JARING telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Asia Internet Holding (AIH) dari Jepun bagi mempertingkatkan perkhidmatan Internet untuk pengguna tempatan dan Asia Pasifik. Rangkaian yang dinamakan JARING-A-Bone ini memudahkan pengguna Internet menghubungi laman web di rantau Asia. Hubungan tersebut menyediakan akses lebih cepat dan secara terus
bagi pengguna kepada negara-negara Asia yang dihubungkan dengan A-Bone. Pada bulan Mei 1999, JARING mula menawarkan perkhidmatan perayauan antarabangsa yang meliputi lebih 150 negara.


Pada 11 Jun 1999, JARING menempa sejarah dengan pemasangan talian antarabangsa berkelajuan 45Mbps yang merupakan talian pertama seumpamanya di rantau ini (di luar Jepun). Talian ini dipasang mengambil sempena persidangan Internet terbesar di Asia, INET 99. Selanjutnya pada akhir tahun 1999, jumlah keahlian JARING meningkat melebihi 100,000 orang dengan jumlah pengguna dianggarkan melebihi 300,000 orang.
Bagi menampung pengguna yang semakin meningkat dan semakin memerlukan perkhidmatan terbaik, maka pada 1 November 1996, Telekom Malaysia Berhad telah memulakan perkhidmatan TMNet, sebagai Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) kedua Malaysia setelah mendapat lesen daripada pihak kerajaan. Sehingga akhir 2000, di antara syarikat-syarikat lain yang turut menyediakan perkhidmatan ISP di Malaysia ialah Maxis Communications Berhad, DiGi Telecommunications Sdn Bhd. dan Time dotCom
Berhad.


Penggunaan Internet dijangka akan terus berkembang dengan cepatnya sebagai media komunikasi multimedia utama dunia pada alaf ke 21 ini. Cabaran utama kita semua ialah untuk menyediakan masyarakat Malaysia agar sentiasa bersedia menggunakan teknologi Internet sepenuhnya di samping mengenali batasannya. Kita amat bertuah kerana telah dapat mengenalpasti potensi Internet lebih 10 tahun dahulu dan telah mengambil langkah sewajarnya bagi membina prasarana Internet ke tahap yang jauh lebih maju berbanding dengan negara lain di rantau ini.

(Sumber : Open University Malaysia, OUM)

Sunday, August 29, 2010

Pengenalan

Blog ini dibangunkan atas dasar ingin berkongsi maklumat Undang-Undang Siber di Malaysia. Berfokuskan dalam konteks "Perkembangan Undang-Undang Siber di Malaysia", blog ini akan membincangkan secara lanjut mengenai sejarah Undang-Undang Siber di Malaysia serta impaknya terhadap bidang perundangan di Malaysia.


Perkongsian maklumat dalam blog ini bukan hanya dilakukan menerusi penyiaran artikel sahaja, malah hal ini diluaskan lagi dengan penggunaan aplikasi terkini dalam dunia siber. Ini termasuklah menggunakan Facebook (FB) sebagai salah satu tempat bagi merintis pandangan secara berilmiah, aplikasi YouTube bagi mengilustrasikan sesuatu maklumat dalam bentuk paparan video yang semestinya memudahkan pemahaman pengguna seta lain-lain lagi. Semua ini boleh didapati dengan hanya menggunakan pautan atau "toolbar" yang telah disediakan.

I made this widget at MyFlashFetish.com.